WARGA FELDA PENENTU PERUBAHAN

Tuesday 10 May 2011

Akta Penempatan Berkelompok 1960

Oleh : Haji Suhaimi Said 
Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal


Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan telah ditubuhkan sebagai Badan Berkanun  dibawah Fasal 3 Ordinan Pembangunan Tanah 1956 yang kemudian dinamakan Federal Land Development Authority (Felda) bertujuan:

1.  untuk memberi jaminan kepada petani luar bandar untuk memperolehi tanah melalui skim berkelompok;
2.  untuk membasmi kemiskinan di luar bandar;
3.  untuk menentang pengaruh komunis melalui kemiskinan luar bandar.

Pada 27hb April 1960 telah diperkenalkan melalui Parlimen dan dibentangkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussain untuk memperbaiki keadaan hidup dan sosio ekonomi rakyat luar bandar, suatu undang-undang yang dikenali sebagai 'Group Settlement Act' atau Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

GSA bertujuan untuk:

1.  memastikan keseragaman undang-undang bagi tujuan kawasan penempatan berkelompok dan syarat-syarat untuk pemberimilikan dan penempatan di kawasan tersebut; 

2.  pada 26hb Februari 2002, GSA telah dipinda untuk membolehkan tanah berkelompok ini diberikan pemilikan diatas 2 orang penama.

GSA juga bertujuan untuk mempastikan tanah-tanah yang diberikan kepada petani-petani  mempunyai keluasan yang mencukupi  agar pemiliknya boleh bergantung hidup untuk nafkah kerana kebanyakan petani-petani tersebut terdiri daripada mereka yang sebelumnya tidak mempunyai tanah atau mereka yang memiliki tanah yang tidak ekonomik di luar bandar.

Dibawahnya, kerajaan-kerajaan Negeri dikehendaki membantu:

(a) supaya menangguhkan bayaran premium dan lain-lain bayaran sehingga tanah itu mengeluarkan hasil;
(b) supaya memberikan bantuan memberikan benih;
(c) supaya membina jalan-jalan raya, paip air, lampu letrik dan lain-lain kemudahan.

Tanah yang diberikan adalah secara individu (dan dibawah pindaan, boleh diberikan kepada 2 penama).
GSA berkait dengan proses pemilikan tanah dalam jangkaan untuk mendapatkan geran (in expectation of title) dan tanah-tanah yang sudah diberikan geran kepada peneroka-penerokanya tidak terlibat kecuali syarat-syarat/halangan dan sekatan keatas Suratan Hakmilik oleh Kerajaan Negeri.

Hak Kerajaan Negeri:

1. Kerajaan Negeri berhak melantik mana-mana agensi pembangunan untuk menguruskan tanah 
berkelompok tersebut dan tidak semestinya Felda semata-mata.Wujud juga Felcra, Tanah Pinggir dan tanah-tanah berkelompok bandar yang diletakkan dibawah operasi GSA.

2. Kuasa ke atas tanah rancangan adalah terletak kepada "Collector" atau Pentadbir Tanah dibawah bidang kuasa Kerajaan Negri (bukan Felda).

3. Bagi tanah-tanah yang diuruskan oleh Felda, kuasa-kuasa mengenai pemilikan tanah, CAC (Consolidated Annual Charges), perlantikan pengurus-pengurus rancangan, dan pembuatan undang-undang kecil, dan pengisytiharan dasr (polisi)  hendaklah dibuat selepas dibuat consultation dengan Kerajaan Negeri (S.37 GSA) dan kuasa-kuasa ini tidak disedari oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri.

4. Di bawah Seksyen 38 GSA, semua kuasa yang terdapat di Bahagian 1 - VI adalah terpakai seolah-olah kawasan penempatan berkelompok tersebut (yang diuruskan oleh Felda itu) merupakan tanah Kerajaan Negeri, dan dibawah Seksyen 36 perlantikan pengurus-pengurus Felda hendaklah dibuat melalui consultation dengan Kerajaan Negeri, dan dibawah Seksyen yang yang sama Kerajaan Negeri boleh membuat perlantikan baru bagi  pengurus-pengurus tersebut.

5. Polisi-polisi yang dibuat oleh Felda termasuklah:-

(a) memperuntukkan Fasal 9 Surat Perjanjian yang mewajibkan peneroka-peneroka menjualkan hasil ladang kepada kilang-kilang Felda.
 
(b) membuat 'grading' buah sawit dan getah;

(c) membuat pungutan Wang Tabung Tanam Semula (yang sukar dikembalikan oleh Felda);

(d) menentukan bayaran CAC (termasuk bayaran premium, upah ukur dan batu sempadan - jumlah bayarannya ditentukan oleh Kerajaan Negeri.

Felda Plantation:

1.  Kini terdapat seluas 380,180 hektar  (840,000 ekar) tanah-tanah ladang yang diserahkan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri kepada Felda telah digunakan oleh Felda sebagai tanah ladang Felda dan tidak ditempatkan peneroka-peneroka bertentangan dengan Seksyen 30 GSA dan tidak menepati Seksyen 4 undang-undang yang sama.

2.  Felda Plantation bercanggah dengan GSA dan dibawah Seksyen 44(1) Kerajaan-Kerajaan Negeri boleh menamatkan Rancangan Berkelompok dan berkuasa mengambil balik ladang Felda Plantation.
Suratan Hakmilik:

(a) Pengurniaan Suratan Hakmilik adalah hak mutlak Kerajaan Negeri melalui Pentadbir Tanah, dan amalan pada hari ini bahawa Kerajaan Negeri hanya mengeluarkan geran setelah mendapat recommendation dari Felda adalah bertentangan dengan undang-undang;

(b) Kerajaan Negeri boleh mengeluarkan geran apabila CAC telah dibayar sepenuhnya dibawah Seksyen 20 GSA;

(c) kesan pengurniaan geran adalah seperti berikut:

(i)   hubungan antara Felda dengan peneroka-peneroka tamat;

(ii)  geran hanya tersekat dengan syarat-syarat kepentingan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan tidak lagi dikawal-selia oleh GSA dan Felda.

Tun Haji Abdul Razak Hussain menyatakan di Parlimen (1960): "Apabila Suratan Hakmilik dikeluarkan, tanah itu tidak lagi menjadi tanah Kerajaan Negeri; bahkan Pentadbir Tanah pun tak berkuasa lagi keatas tanah itu."

(iii)  perjanjian diantara Peneroka/Felda dibawah GSA terbatal apabila geran dikeluarkan, dan dasar-dasar yang memihak kepada Felda seperti memperuntukkan bahawa hasil ladang mesti dijual kepada kilang-kilang Felda turut terbatal.

Kerajaan-Kerajaan Negeri membuat jemputan kepada Felda untuk menguruskan tanah-tanah berkelompok dibawah GSA melalui WARTA KERAJAAN, dan apabila geran sudah dikeluarkan  Felda perlu keluar dari kawasan rancangan.  Kawasan Berkelompok sudah menjadi KAMPONG, peranan Felda dari segi undang-undang sudah berakhir.

PANDANGAN:  Suatu Jawatankuasa Khas hendaklah ditubuhkan oleh Para Peguam PKR bagi mengkaji GSA dan menyediakan laporan lengkap bagi menentukan kuasa-kuasa Kerajaan Negeri bagi menamatkan kuasa Felda keatas tanah-tanah berkelompok yang diletakkan dibawah GSA apabila bayaran CAC sudah disempurnakan dan mengkaji penamatan Felda Plantation yang dikatakan bercanggah dengan GSA.

No comments:

Post a Comment