WARGA FELDA PENENTU PERUBAHAN

Friday 17 February 2012

Pelancaran Kempen 100 Ribu Tandatangan Peringkat Negeri Sembilan

          Isu penyenaraian Felda Global Venture ke Bursa Saham mendapat reaksi negatif daripada peneroka seluruh Malaysia. Penentangan terhadap penyenaraian ini adalah untuk menyelamatkan Felda dari mengalami kerugian besar yang akan melibatkan para peneroka keseluruhannya. Ini bukan sahaja masalah para peneroka tetapi sudah menjadi masalah Negara.

         Biro Masyarakat Felda PKR mengambil langkah berani dengan melancarkan Kempen 100 Ribu tandatangan peneroka sebagai tanda bantahan terhadap usaha Kerajaan menyenaraikan FGV di Bursa Malaysia. 
        Pelancaran Kempen 100 Ribu tandatangan Peringkat Negeri Sembilan akan berlangsung pada  21hb Februari 2012 bertempat di Dataran Niaga Palong 4, 5, 6 bermula jam 8.00 malam. Pelancaran Kempen BANTAH ini akan dirasmikan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Sri Wan Azizah Wan Ismail.
         Pihak Biro Masyarakat Felda menjemput orang ramai memberikan sokongan terhadap Kempen 100 Ribu Tandatangan BANTAH Penyenaraian FGVHB di Bursa Malaysia.

Thursday 16 February 2012

NASIONAL

Peneroka ke Putrajaya bantah penyenaraian FGVH 30 Mac

Feb 9 2012 / Keadilan Daily
(Oleh: Masdar Wahid)

PETALING JAYA 9 Feb: Peneroka di seluruh negara akan berhimpun di Putrajaya bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVHB)  di Bursa Malaysia pada 30 Mac ini, kata Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran Kempen 100,000 Tandatangan Membantah Penyenaraian FGVHB di Pejabat KEADILAN hari ini.
"Kita juga sudah mengedar hampir 200 meter kain putih kepada setiap wakil negeri untuk mengumpul tandatangan.
"Manakala Kain putih itu pula akan dicantum dan dibawa bersama memorandum bantahan dalam perarakan menuju Pejabat (perdana menteri) Najib pada 2.30 petang, 30 Mac ini," kata Suhaimi.
Menurutnya, pelbagai NGO juga sudah berbincang bagi memastikan himpunan itu berjaya dengan mencapai sasaran antara 5,000 hingga 10,000 peneroka.
Dalam sidang media itu, Suhaimi berkata, kos operasi Felda kini adalah RM1.9 bilion yang menyebabkan agensi itu bakal menanggung kerugian atau defisit sebanyak RM0.9 bilion setiap tahun.
Katanya, bagi tujuan penyenaraian dan pampasan RM1 bilion tersebut, Felda memajak seluas 830,000 ekar tanah melalui Felda Plantation dan tambahan 20,000 ekar tanah poket kepada FGVHB, yang bertentangan dengan Akta Kemajuan Tanah.
Jelasnya lagi, rekod buruk penyenaraian FGVHB juga menunjukkan syarikat itu mengalami kerugian teruk iaitu mencecah RM500 juta di antara 1997  hingga 2010.
Najib sendiri tidak yakin
Tegas beliau, meskipun penyenaraian itu dijangka April ini, namun sehingga kini tiada sebarang kertas cadangan yang menunjukkan kesan perolehan dan perbelanjaan dibentangkan.
"Najib sendiri tidak yakin bahawa penyenaraian ini akan menguntungkan peneroka dan ini terbukti apabila sehingga kini pihak FGVHB tidak pernah membentang apa-apa kertas cadangan projek penyenaraian yang menunjukan perolehan dan perbelanjaan.
[caption id="attachment_26341" align="alignleft" width="287" caption="Kamarul Bahrain mengetuai tandatangan di atas kain putih membantah penyenaraian FGVH"][/caption]
"Sebagaimana kita sedia maklum, penyenaraian bertujuan mendapatkan modal dengan menjual unit-unit saham dan melepaskan kepentingan kepada orang luar, maka rakyat perlu tahu apa tujuan sebenar penyenaraian FGVHB ini," katanya.
Dalam sidang media itu, beliau turut menempelak Najib kerana mengekalkan dua pemimpin bermasalah dalam pengurusan Felda, iaitu Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Pengerusi Eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad.
"Sabri pernah terlibat dalam salah laku mengurus yang membawa kerugian RM120 juta kepada Golden Hope Plantation Bhd seperti dilapor KPMG forensic dalam Straits Times pada 11 Jun 2008.
"Manakala Isa didapati bersalah dalam kes rasuah pemilihan Umno pada 2005," tegasnya.
Turut serta dalam sidang media itu, Jurucakap Felda KEADILAN di Parlimen, Datuk Kamarul Bahrain Abbas, Sekretariat Task Force Felda KEADILAN Selangor, Shamsul Iskandar Md Akin, Pengarah Biro Felda Angkatan Muda KEADILAN, Rebin Birham dan wakil beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Monday 9 January 2012

Jadual Kerja Pengerusi Biro Felda

10hb Januari 2012 - Ceramah Umum di Felda Kepis, Kuala Pilah jam 9 malam

12hb Januari  2012          - Bersama YB Fuziah Salleh,  Lawatan Kerja ke DUN Palong
                                       - 11 pagi - 2.30 petang - Program Ziarah
                                       - 3 petang - 5.30 petang - Hi-Tea dan  Program Dialog
                                       -  8.45 malam - Ceramah Umum di Dataran Niaga Palong 8

13hb Januari 2012          - Bersama Dr Zaleha ( Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan)
                                       - Pagi - Lawatan Kerja Mengenai Kesihatan Sekitar DUN Palong
                                       - Petang - Perjumpaan Jentera DUN Palong
                                         (bertempat di No 49, Blok 3, Palong 10)

Wednesday 28 December 2011

IMBASAN DARI KONVENSYEN NASIONAL FELDA 2011

UCAPAN ALU-ALUAN

Selamat Datang ke Konvensyen Warga Felda Dan Orang Asal Kebangsaan Kali Ke-2, 2011. Pada Kongres yang lalu, kita bertandang ke Jerantut, Pahang. Kali ini kita merasa cukup bertuah kerana kita diterima pula sebagai tetamu Selangor Darul Ehsan. Perhimpunan kali ini adalah bagaikan kembalinya semua kita memupuk semula semangat baru dan menyuburkan ilmu serta berkongsi pengalaman di antara satu sama lain bagi menyiapkan diri menghadapi pertempuran sengit mempertahankan hak dan maruah keluarga berhadapan dengan gergasi rakus bernama Felda.  Kita rakamkan jutaan terima kasih atas kesudian Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Y.A.B. Tan Sri Khalid Ibrahim dan Pejabat Sekretariat Task Force Felda Selangor yang dipengerusikan oleh Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin serta semua pihak yang terlibat kerana sudi menerima kita semua di sini.


PENGENALAN

Bermula pada 1 Julai 1956 hingga hari ini, 2 April 2011, genaplah usia Felda 54 tahun, 9 bulan, 2 hari.  Usia sebegini sudah semestinya cukup matang jika dibandingkan usia seorang manusia. Felda kini mempunyai 112,35 peneroka di 317 tanah rancangan di seluruh negara melibatkan keseluruhan kawasan ladang seluas 853,313 hektar.

Hari ini, Felda bukan sekdar kelapa sawit, bukan sekadar getah tetapi Felda kini menjadi konglomerat dengan jaringan perniagaan di seluruh dunia. Kini kumpulan syarikat-syarikat Felda menjadi pemain utama dan menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara. Dengan 88 syarikat aktif yang terdiri daripada syarikat milik penuh, syarikat usahasama dan syarikat bersekutu, perniagaan Felda kini tidak lagi hanya tertumpu kepada kegiatan berasaskan perladangan tetapi menjangkau bidang-bidang lain termasuklah perkilangan, pembuatan, pengangkutan, perkhidmatan kejuruteraan, hartanah, perhotelan dan lain lain. Jika dibandingkan dengan manusia, Felda boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan manusia terkaya dunia seperti Carlos Slim Helu (53.5 billion) dan William Gates III (53 billion) – laporan Majalah Forbes.com

Ramai tidak menyedari bahawa di sebalik kemegahan ini telah banyak pengorbanan yang dicurahkan oleh insan yang bernama peneroka. Tidak sekadar mengorbankan diri sendiri, malah juga isteri dan keluarga ditaruhkan demi membangunkan Felda dan Negara. Jika kita selami pengorbanan peneroka, kita akan dapat melihat pengorbanan bukan kepalang. Begitu besar pengorbanan insan bernama peneroka ini.

Kebanyakan mereka yang datang ke tanah rancangan tekad meninggalkan kampung halaman, meninggalkan ibu bapa dan sanak saudara. Mereka datang bukan bertujuan menikmati kesenangan dan keindahan alam maya, malahan terpaksa menghadapi hutan belantara, kediaman yang daif, persekitaran yang tidak menjanjikan apa-apa, infrastruktur yang hampir tidak ada dan bermacam-macam lagi kesusahan. Namun dengan tekad yang ada, semua kesusahan dihadapi dan diharungi dengan tabah.  Mereka meletakkan harapan yang tinggi bahawa dengan kesusahan yang dilalui, mereka akan memiliki tanah dan kampung halaman sendiri suatu hari nanti. Bagai kata pepatah, “ alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”, “bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian “.

Maka hari ini, setelah puluhan tahun berjuang harapan tinggal harapan. Impian musnah berkecai. Segala usaha dan pengorbanan serta penat lelah langsung tidak dihargai. Geran tanah yang dijanjikan tidak kunjung tiba di sesetengah rancangan. Hutang seolah tidak pernah surut, malah bertambah berkali-kali ganda. Hari ini setelah Felda menjangkau 54 tahun dan ketika Felda menjadi kebanggaan Negara, peneroka felda di seluruh negara  menanggung beban hutang yang besar. Sebagai contoh, peneroka Felda Palong 4, 5 & 6 kini menanggung hutang kira-kira  RM80,000 hingga RM130,000 seorang setelah 8 tahun melalui proses tanam semula. Persoalannya, mampukah kita untuk menyelesaikan jumlah hutang yang sebegini banyak pada usia sekarang? Di dalam Riwayat Al-Tarmizi mengatakan “Roh seseorang mukimin itu tergantung (terhalang dari tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan” . Peneroka tidak menyangka langsung yang pengorbanan mereka selama ini dibalasi dengan bebanan hutang yang berpanjangan sehingga ke anak cucu. Kampung halaman yang diimpikan tidak seindah impian. Malahan bermacam masalah sosial dihadapi. Dari masalah kecurian, ketagihan dadah, alkohol, rempit sehinggalah masalah sumbang mahram menjadi suatu masalah yang tidak dapat dibendung lagi.

Beginikah impian peneroka yang telah berkorban selama puluhan tahun? Beginikah yang diingini setelah penat lelah ditaburkan selama ini?


WARGA FELDA PENENTU PERUBAHAN

1.       Isa Samad adalah Liabiliti
               
Saudara saudari sekelian.

Umum tahu dan kenal siapa Isa Samad. Beliau digantung keanggotaan Umno oleh Jawatankuasa Disiplin Umno pada 24 Jun 2005 kerana terlibat dengan amalan rasuah iaitu menyogok para perwakilan Umno dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden Umno. Kesalahan ini tidak boleh dipandang ringan kerana kesalahan rasuah politik tentunya melibatkan wang bukannya sedikit dan menyalahi undang-undang  agama dan negara. Seharusnya beliau didakwa oleh SPRM kerana kesalahannya jelas memberi rasuah. Anehnya, amatlah mengecewakan apabila pihak berkuasa berdiam diri walaupun telah terbukti bahawa Isa Samad telah melakukan kesalahan ini.

Persoalannya, bagaimana dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat tetapi mengamalkan undang-undang ‘double standard’ terhadap rakyatnya? Apakah perlembagaan Umo yang menjatuhkan hukuman gantung keanggotaan ahli Umno kepada Isa Samad lebih besar kuasa perundangannya daripada perundangan negara di bawah perlembagaan. Dan yang lebih aneh dan pelik lagi, Najib Razak melantik Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru. Seharusnya Isa Samad didakwa dan dibicarakan. Jika didapati bersalah, beliau seharusnya dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Kita ingin bertanya kepada Perdana Menteri, apakah kriteria pemilihan ‘orang kesayangannya’ ini? Adakah Isa Samad seorang ahli politik yang disegani? Apakah beliau seorang ahli korporat yang berjaya? Adakah beliau seorang pentadbir awam yang dedikasi? Atau adakah beliau seorang negarawan? Tentunya jawapannya TIDAK. Tapi yang kita pasti, Isa Samad adalah insan yang banyak berbudi kepada Perdana Menteri. Fikirkan lah!

Sesungguhnya perlantikan Isa Samad amat mengecewakan dan amat malang bagi warga Felda. Isa Samad tidak akan dapat membantu meringankan beban masyarakat Felda. Beliau tidak akan dapat menyelesaikan masalah masyarakat Felda apatah  untuk mengutarakan masalah. Jika di Bagan Pinang kita boleh berkata sesiapa yang menyokong Isa bermakna menyokong rasuah tetapi saya percaya tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian tidak pernah bersetuju dengan perlantikan Isa sebagai Pengerusi Felda. Dan kita boleh sifatkan perlantikan ini sebagai satu penghinaan terhadap warga Felda.

Wahai Perdana Menteri, warga peneroka mendambakan pemimpin yang berjiwa rakyat seperti ungkapan pertama Khalifah Abu Bakar As-Siddiq semasa menjawat jawatan khalifah.

Wahai sekalian manusia, kamu telah sepakat memilih aku sebagai Khalifah untuk memimpinmu. Aku ini bukan yang terbaik di antara kamu, maka jika aku berlaku baik dalam melaksanakan tugasku, bantulah aku, tetapi bila aku bertindak salah, betulkanlah. Berlaku jujur adalah amanah, berlaku bohong adalah khianat. Siapa saja yang lemah di antaramu akan kuat bagiku sampai aku dapat mengembalikan hak-haknya, Insyaallah. Siapa saja yang kuat di antaramu akan lemah berhadapan denganku sampai aku kembalikan hak orang lain yang dipegangnya, Insyaallah. Taatlah kepadaku selama aku taat kepada Allah dan RasulNya. Apabila aku tidak taat lagi kepada Allah dan RasulNya, maka tidak ada kewajipanmu untuk taat kepadaku”.

Daripada ungkapan ini, menjelaskan bahawa kriteria seorang pemimpin yang diperlukan oleh warga Felda adalah seorang yang bersifat tawaduk, sentiasa menjalin kerjasama, mengharap kritikan dan saranan, berkata-kata dan berbuat yang benar, memenuhi hak-hak rakyatnya, membanteras kezaliman, menunjukkan ketaatan kepada Allah dan RasulNya dan yang paling nyata tentulah bukan seorang perasuah!

Amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Pemimpin yang tidak amanah adalah pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Allah S.W.T. menyebut di dalam Surah Al-Anfal ayat 27, “ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diamanahkan kepada kamu sedang kamu mengetahui “.

Justeru itu warga Felda perlu mendesak Kerajaan bahawa Isa Samad mesti meletak jawatan dan digantikan dengan orang lain demi mengembalikan imej Felda sejajar dengan peranan besar seorang pemimpin untuk menjaga amanah rakyat. Sabda Nabi s.a.w “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancurannya”.



2.       Pengkhianat Bangsa, Agama Dan Negara

Saudara/Saudari sekalian, terlebih dahulu saya ingin memetik komen Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 20 Disember 2010.

“saya marah sebab mereka betul-betul berniat jahat. Sebab itu saya tak berselindung dan mengatakan pengkhianat bangsa kerana berhasrat untuk menjatuhkan imej Felda dengan tuduhan liar dan tidak berasas”

Di dalam kenyataan tersebut, Dato’ Seri Najib mengatakan bahawa sesiapa yang memburuk-burukkan Felda umpamanya mengatakan Felda itu muflis, layak digelar pengkhianat bangsa, agama dan negara. Akan tetapi hakikat sebenar, selepas beliau mengambil alih tugas memantau Felda pada tahun 2005 beliau telah menjadikan institusi Felda yang gilang gemilang suatu ketika dahulu kepada suatu mimpi ngeri. Saya berkata demikian berdasarkan hujah-hujah berikut :-


2.1   Kemerosotan rezab tunai Felda

Pada tahun 2001, Felda memiliki rezab tunai berjumlah RM4.5 billion dengan nilai pinjaman sifar. Pada Julai 2010 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Haslan menyatakan rezab tunai tersebut telah merosot kepada RM 1.2 billion. Anehnya perkara ini berlaku, sejak tiga tahun yang lepas dengan harga minyak sawit (cpo) telah berada pada tahap yang tinggi. Keadaan ini jika sekiranya diteliti dengan lebih terperinci, sepatutnya nilai rezab tunai Felda meningkat dan mencecah nilai RM8 billion. Ini menujukkan seolah-olah dalam tempoh 10 tahun yang lepas, Felda tidak mempunyai apa-apa urusniaga pembelian dan penjualan minyak sawit. Amat menyedihkan kerana sehingga ke hari ini, tiada penjelasan yang kukuh dan terperinci berkaitan kemerosotan rezab tunai ini. Kemana perginya dan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan?


2.2   Pembinaan Ibu Pejabat Baru Untuk Kroni

Ibu Pejabat Felda  baru yang terletak di kawasan segi tiga emas di antara KLCC dan Pejabat Suruhanjaya Republic Singapura dikatakan menelan kos sebanyak RM660 juta. Persoalanya, mengapakah Felda membina bangunan bertaraf “lima bintang” tersebut di kawasan segi tiga emas itu dan apakah rasionalnya? Sedangkan pejabat lama sedia ada masih boleh beroperasi. Apa yang pasti bukan untuk faedah peneroka dan yang tahu jawapan tepat adalah Perdana Menteri dan kroninya. Dato’ Dr. Tan Kee Kwong yang merupakan seorang bekas  Timbalan  Menteri Tanah Dan Koperasi telahpun mempersoalkan akan kewajaran pembinaan bangunan tersebut. Beliau berkata, “Saya berpendapat bahawa pembinaan pejabat baru ini satu pembaziran. Kos yang dibelanjakan untuk membina pejabat baru ini mencecah RM662 juta. Kenapa tidak bina saja bangunan di atas tanah kepunyaan sendiri di Jalan Semarak kerana akan melibatkan kos yang rendah?” Dr. Tan juga mempersoalkan mengapakah sebanyak RM230 juta dibayar kepada Naza TTDI sebagai wang pendahuluan? Mengapakah keputusan pembinaan ibu pejabat baru ini dilakukan di dalam satu mesyuarat sulit di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah Felda?

Begitu juga dengan kenyataan Datuk Ahmad Maslan yang menyatakan bahawa ianya merupakan pelaburan yang bijak dan telah berhasil meraih keuntungan sebanyak RM300 juta sedangkan bangunan tersebut masih belum siap dibina dan belum dijual. Sungguh aneh dan pelik perbuatan dan kata-kata dusta mereka, seperti kata Yassin Salleh “macam berbahagi harta pusaka mak bapak mereka”.

3.       Salahguna Kuasa Yang Berleluasa

Sebagai manusia biasa, kita tidak bisa lari dari melakukan kesilapan. Justeru pelbagai peraturan dibuat di mana-mana organisasi, syarikat swasta, jabatan-jabatan kerajaan dan tidak ketinggalan juga di tanah rancangan felda. Kita sebagai warga felda akur dengan peraturan yang diwujudkan. Dengan adanya peraturan-peraturan tertentu, maka diharapkan setiap peneroka dapat menumpukan segala usaha untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka. Peneroka dikehendaki mematuhi peratura-peraturan dan tatatertib untuk mewujudkan suasana ketenteraman dalam rancangan supaya kerja-kerja pembangunan dapat berjalan lancar. Kesalahan yang akan menyebabkan tindakan tatatertib diambil terhadap peneroka adalah seperti kesalahan jenayah dan penglibatan najis dadah. Kesalahan ini samada yang disabitkan mahkamah atau yang didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Peneroka. Selain daripada itu, kesalahan berzina, berkhalwat dan kes penyelewengan agama juga merupakan kesalahan berat yang boleh dikenakan tindakan tatatertib. Tidak tinggal di rancangan bersama keluarga untuk suatu tempoh yang lama tanpa sebab dan alasan juga boleh diambil tindakan tatatertib.

Akan tetapi peraturan hanya tinggal peraturan. Peraturan yang ada tidak dilaksanakan oleh pentadbiran Felda samada di peringkat rancangan mahupun di peringkat atasan. Peraturan yang ada dilaksanakan bukan bertujuan untuk menegakkan keadilan dan membanteras jenayah sebaliknya disalahgunakan oleh pengurus rancangan, pentadbiran dan orang-orang yang berkepentingan politik umno yang rakus dan tamak bagi tujuan mengeksploitasi kelemahan peneroka. Sebagai contoh, kes Sdr. Che Hashim  bin Che Long di Felda Palong 9, Jempol Negeri Sembilan. Kini beliau dan keluarga sedang menghadapi ancaman disingkir daripada Felda oleh pengurusan Felda. Kes ini jika dihuraikan amat menarik dan perlu mengambil masa yang lama. Secara ringkasnya, punca beliau disingkirkan adalah kerana beliau menuntut hak daripada hasil getah beliau yang telah ‘disonglap’ oleh beberapa pemimpin umno di peringkat rancangan dan pentadbiran felda di peringkat rancangan Felda Paong 9 ketika beliau tidak berada di tanah rancangan. Ketiadaan beliau di tanah rancangan adalah bersebab dan beliau telah memaklumkan kepada pengurus rancangan dan pengurus membenarkan beliau berbuat demikian.

Dalam kes ini, Sdr. Che Hashim menuntut hasil getah beliau yang telah ‘disonglap’ selama 6 tahun berjumlah lebih RM200 ribu. Namun apa yang berlaku adalah sangat aneh. Pihak pengurusan felda bukan bertindak menyiasat apakah yang telah berlaku, tetapi sebaliknya bersekongkol dengan beberapa pemimpin umno di peringkat rancangan untuk menyingkirkan Sdr. Che Hashim. Tidak cukup dengan itu, pihak pengurusan Felda mempergunakan dan mempengaruhi ketua-ketua blok bagi menurunkan tandatangan bersetuju menyingkirkan Sdr. Che Hashim dengan tuduhan-tuduhan liar dan berunsur fitnah. Selain itu, keluarga beliau juga sering diancam oleh pihak-pihak yang rakus ini. Dan saya percaya ancaman seperti ini juga berlaku di tanah-tanah rancangan yang lain terutamanya apabila peneroka ingin memilih untuk tanam semula sendiri dan berkecimpung di dalam politik Pakatan Rakyat.

Bak kata pepatah “Berat mata memadang, berat lagi bahu yang memikul”. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kes ini masih belum selesai. Saya dapat merasakan kehidupan keluarga Sdr. Che Hashim semakin tertekan dan tersepit. Namun kita berharap agar beliau akan terus cekal menghadapi tekanan demi tekanan ini. Dan kita berjanji akan bersama-sama beliau mengharungi saat yang getir ini.
“Membujur lalu melintang patah, lawan tetap lawan”!!


4.       Perubahan Dasar Yang Merugikan Generasi Baru Felda

Penyelewengan dasar Felda bermula pada 6 September 1995 dengan penubuhan Felda Holding di bawah pemerintahan Mantan Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Dr. Mahathir Mohamad. Pada ketika itu, Dr. Mahathir lebih mengutamakan kemajuan perdangangan, perindustrian dan pembangunan bersakala besar. Baginya projek berskala besar akan lebih membawa keuntungan dan lebih produktif bahkan boleh menambah bilangan ramai pengurus, ahli korporat dan kapitalis melayu selari dengan objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Felda Holding merupakan salah sebuah konglomerat yang terbesar dalam bidang perladangan bertaraf dunia. Di dalam negara, ianya adalah syarikat ke-2 terbesar selepas petronas. Felda Holding terlibat di dalam pelbagai bidang perniagaan seperti perladangan, hiliran, pembuatan dan perkhidmatan. Kini syarikat ini menguruskan tanah seluas 550 ribu hektar. Sebanyak 96% ditanam dengan kelapa sawit. Selain itu ia juga terlibat dengan 70 buah kilang sawit, 13 kilang getah, 7 kilang penapis, 4 kilang menghancurkan isi sawit dan lain-lain lagi. Pada tahun 2008, jumlah hasil perniagaannya mencecah RM15.4 billion. Untung sebelum ditolak cukai pada tahun yang sama adalah sebanyak RM819 juta. Terdapat lebih kurang 60 syarikat di bawah Felda Holding. 50 daripadanya aktif dan kebanyakkannya membawa keuntungan antaranya Felda Plantation Sdn. Bhd. yang mengurus tanah-tanah ladang secara komersil.

Pada peringkat awal terdapat 323 tanah rancangan felda di seluruh negara yang cuba diserapkan sebagai asas penubuhan Felda Plantation. Proses penyerapan ini dilakukan dengan pelbagai cara termasuklah pujukan, tekanan serta ugutan. Ramai di antara peneroka  yang bersetuju menyerahkan tanah mereka kepada Felda Plantation dan tidak kurang juga yang menentang. Amat malang sekali pada masa yang sama tidak ada rancangan tanah felda baru yang dibuka. Dengan erti kata lain, usaha dan dasar asal felda untuk memberi tanah kepada rakyat miskin dan petani yang tidak mempunyai tanah tidak lagi dijalankan. Justeru itu, anak-anak peneroka yang tidak mempunyai tanah dan pekerjaan tidak berpeluang untuk menjadi peneroka felda.

Huraian di atas menunjukkan telah berlakunya perubahan dasar felda dari sebuah agensi kerajaan yang bertujuan untuk menghapuskan kemiskinan menjadi syarikat kapitalis. Siapakah yang mendapat keuntungan terbanyak dari proses perubahan ini? Jawapannya sudah tentulah Felda Holding dan berpuluh anak syarikat yang aktif termasuklah syarikat Tekno Plan yang mengelola kerja-kerja penanaman semula buat kali ke-2 bagi peneroka felda. Selain daripada itu gaji dan elaun Pengerusi Felda, Lembaga Pengarah, pengarah-pengarah  dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat masing-masing dikhabarkan  dibayar gaji di antara RM360,000.00 hingga RM2 juta setahun. Ini tidak termasuk beberapa elaun seperti elaun mesyuarat, elaun perjalanan, penginapan, keraian dan lain-lain keistimewaan. Pendek kata kekayaan dan kemewahan hanya berlegar disekitar kroni mereka.


5.       Apa Yang Perlu Kita Lakukan?

Sesengguhnya untuk melakukan perubahan bukannya mudah. Untuk berkata benar sememangnya pahit namun kita tidak punya pilihan untuk terus berjuang.

 Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Imran, Ayat 104 :

                “Hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan maaruf (yakni kebaikan) dan melarang dari yang mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang benar”.

Saudara/saudari sekalian, jadikanlah konvensyen ini sebagai hari baru hari yang penuh keazaman untuk membawa perubahan kepada seluruh warga felda di seluruh negara. Hari pembaharuan tekad menuntut agar kita sama-sama penuh keinsafan dan tangungjawab serta menyedari bahawa nasib masa depan anak-anak, cucu-cucu dan masa depan warga felda serta masa depan negara Malaysia yang dicintai ini terbela. Sedarlah wahai warga felda sekalian bahawa masa depan negara ini di tangan kita dan kita adalah penentu perobahan.

Walaupun telah banyak teguran, cadangan dan nasihat malah amaran diberikan oleh peneroka, ahli akedemik dan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen namun tidak ada satu pun tindakan positif diambil. Malahan teguran dijadikan isu politik sehinggakan membawa kepada pengharaman Suara Keadilan serta saman terhadap beberapa pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat. Kita tidak boleh terus membiarkan pengkhianatan ini terus berlaku  kerana seumpama memperjudikan masa depan warga felda dan generasi baru.    Dengan itu kita perlu membuat perubahan dalam pemerintahan negara melalui pilihan raya dengan memenangkan Pakatan Rakyat yang menjanjikan Harapan Baru dalam Pilihanraya ke -13 yang akan datang.

5.1 Tingkatkan Gerak Kerja Kesedaran                       

Gerak kerja menyedarkan peneroka tentang hak mereka yang dinafikan oleh Felda perlu dilakukan sekarang di seluruh negara. Bagi mana-mana tanah rancangan yang telah bermula gerak kerja ini, maka haruslah dipertingkatkan. Gerak kerja ini boleh dilakukan dengan cara membuat pertemuan-pertemuan kumpulan kecil dan besar bagi menerangkan penipuan-penipuan yang telah dilakukan oleh Felda selama ini. Di sini saya ingin menyeru kepada pimpinan Parti Pakatan Rakyat di semua peringkat di seluruh negara terutamanya Pimpinan di peringkat Cabang agar memulakan gerak kerja kesedaran ini.

5.2 Bulatkan Tekad Perubahan Bersama Pakatan Rakyat

Saya optimis bahawa warga felda mampu merubah lanskap politik negara dalam pilihanraya ke-13 yang akan datang dengan memastikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat dengan menyumbangkan kemenangan sekurang-kurangnya 30 kawasan parlimen daripada keseluruhan 60 parlimen melibatkan rancangan felda. Berdasarkan keputusan pilihanraya ke-12 yang lepas dengan mengambil contoh Parlimen Temerloh. Daripada jumlah keseluruhan pengundi seramai 54,010 orang pengundi, Calon Pakatan Rakyat hanya tewas 2,441 undi sahaja. Kita menang di kebanyakkan kawasan kampung tetapi kita hanya tewas di kawasan felda yang mana di Temerloh hanya mempunyai 2 kawasan rancangan felda  di dalam Dun Lanchang iaitu Bukit Damar dan Lakum.

Nasib kerajaan di beberapa negeri juga ditentukan oleh warga felda. Sebagai contoh, di Negeri Sembilan Pakatan Rakyat hanya perlu kemenangan 4 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membolehkan Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan. Daripada  36 kawasan DUN, Pakatan Rakyat telah memenangi 15 kawasan DUN di bandar-bandar dan beberapa kawasan pinggir bandar dan kampung. Akan tetapi kita gagal mendominasi kawasan-kawasan majoriti peneroka dan kawasan-kawsan peneroka penentu kemenangan seperti di DUN Jeram Padang, Jempol dan Dun Pertang, Jelebu Negeri Sembilan yang mana kita hanya perlukan undi kurang seribu undi untuk menang.  

5.3 Tubuhkan Sebanyak Mungkin Jawatan Kuasa Bertindak

Menyedari akan permasaalahan peneroka yang semakin membukit dari masa ke semasa dan melihat sikap Felda yang tidak ambil peduli tentang permasalahan dan kesusahan yang dialami oleh peneroka memberi petunjuk bahawa warga felda akan menghadapi masa depan yang suram. Sesungguhnya Felda tahu bahawa peneroka sedang ditipu dalam urusan pembelian kelapa sawat melalui (KPG). Felda sedar peneroka getah sedang ditipu dalam urusan pembelian getah melalui (KGK). Felda juga tahu peneroka akan kehilangan tanah yang mereka impikan satu hari nanti. Felda tahu peneroka sedang menghadapi bebanan hutang besar setelah melalui program tanam semula melalui Felda. Felda tahu generasi baru sedang berhadapan penyakit sosial yang tenat. Namun, Felda juga tahu bahawa peneroka sememangnya tidak mampu berbuat apa-apa.  Ya, benar tetapi peneroka dulu bukannya seperti sekarang. Ingat! Peneroka sudah menang di Kemahang, Peneroka sudah menang di Mahkamah Tinggi Kuantan, insyaAllah Peneroka Moakil dan Serting juga akan menang. Kini Peneroka semakin marah dan kebangkitan peneroka mula dirasai. Bangunlah wahai Warga Felda sekelian untuk sama-sama tampil kehadapan. Satukan hati kita, bulatkan tekad kita. Usah ditakuti ugutan mereka dan marilah kita buktikan bahawa kuasa terletak pada keteguhan jatidiri dan keyakinan kita.




Saya menyeru kepada hadirin sekelian :

                                                                Bangunlah !
                                                                Bangunlah  !
                                                                Bangunlah ! wahai saudara saudari sekelian, angkatkan tangan kita, gengam erat tangan kita, laungkan :

                                                                Reformasi  !
                                                                Reformasi  !
                                                                Reformasi  ! demi masa depan keluarga besar kita. Percayalah kepada rahmat Tuhan dan kemenangan berpihak kepada kebenaran.


5.4 Tuntut hak kita melalui mahkamah

Dalam persidangan Dewan Rakyat 15hb Mac 2011 Datuk Ahmad Maslan menyatakan bahawa 12 kes saman felda telah selesai daripada 18 kes keseluruhanya. Beliau juga menyatakan masih terdapat enam kes belum selesai perbicaraan iaitu dua kes mengenai tuntutan terhadap kadar perahan minyak (KPG) dan dua kes mengenai tuntutan pulangan wang tabung tanam semula. Seterusnya beliau menyatakan satu kes mengenai deklarasi proses tender dan permintaan harga di dalam tender bagi penebangan kayu getah peneroka dan tuntutan penyingkiran peneroka. Beliau juga menegaskan bahawa Felda akan sentiasa berusaha untuk menang dalam semua kes berkaitan yang difailkan.

Dalam hal ini saya ingin menegur dan mengingatkan Datuk Ahmad Maslan agar bercakap dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap peneroka dan jangan bercakap semata-mata untuk kepentingan pangkat dan kedudukan. Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal Felda sepatutnya turut membela peneroka yang tertindas dan bukanya membuat kenyataan sedemikian rupa.

Jelaslah kepada kita bahawa tiada lagi pembelaan terhadap peneroka yang ditipu, ditindas dan dinafikan haknya dalam apa juga keadaan mengharapkan pembelaan daripada felda. Ini kerana felda semacam “lintah darat” yang hanya menghisap darah peneroka tanpa belas kasihan. Walau bagaimanapun masih ada jalan penyelesaian untuk berhadapan dengan “gergasi ganas” ini namun ada syaratnya iaitu peneroka mesti bersatu, berani dan yakin dengan perjuangan untuk menuntut hak demi maruah diri, keluarga, agama dan bangsa.    

Justru itu, kemenangan kes peneroka di Felda kemahang 3 perlu dijadikan sumber inspirasi kejayaan peneroka di seluruh negara dalam apa juga penipuan yang dialami. Syabas kepada Peneroka Felda Moakil, Johor dan Peneroka Serting, Negeri Sembilan kerana telah mengambil langkah berani. Saya percaya selepas ini akan lebih ramai lagi peneroka bangkit di seluruh negara dengan mengambil langkah yang sama iaitu menuntut hak mereka melalui mahkamah terutamanya dalam kes penipuan KPG dan tuntutan wang tabung tanam semula dan lain-lain.




6.       Beberapa Cadangan Strategik Penentu Perubahan

Maka itu, demi merealisasikan slogan Konvensyen kali ini iaitu “Warga Felda Penentu Perubahan” inti pati  yang ingin saya ketengahkan adalah seperti berikut:

1.       Membina dan memperkuatkan  struktur Jawatankuasa badan bertindak peneroka di semua kawasan rancangan.

2.       Memperbanyakkan program dialog bersama peneroka dan Generasi Baru Felda dalam pelbagai isu termasuklah isu pekerjaan  dan perumahan.

3.       Mengenalpasti dan memperbanyakkan bilangan agen-agan perubahan di cabang-cabang dan ranting-ranting di kawasan rancangan.

4.       Mengadakan sesi latihan dan taklimat khas kepada agen-agen perubahan agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya tenaga yang ada.

5.       Jaringan Generasi Baru felda perlu segera diwujudkan di bandar dan di kawasan-kawasan rancangan.

6.       Biro Masyarakat Felda perlu diaktifkan. Sehubungan itu pimpinan negeri-negeri perlu memberikan kerjasama sepenuhnya bagi tujuan tersebut.

7.       Menambah bilangan pasukan guaman bagi tujuan melancarkan usaha menuntut hak-hak peneroka melalui mahkamah.


KESIMPULAN

Ukuran bagi kita (seluruh warga felda) tidak lagi hanya pada menunggu perubahan tetapi menuntut tindakan bijaksana dan  bertindak sebagai agen perubahan. Kita juga perlu bertindak untuk menyempurnakan tanggungjawab dan amanah yang dipikul memastikan agar jaminan dan dasar yang dijanjikan dilaksanakan secara berkesan. Warga felda bukanlah menuntut hak yang tak sepatutnya daripada Felda dan Kerajaan, tetapi menuntut hak-hak yang telah dijanjikan sejajar dengan pengorbanan dan jasa mereka terhadap pembangunan negara. Oleh itu tugas besar warga felda yang maha penting adalah membina semula semangat keinsafan, kesedaran dan keberanian. Semangat unggul kearah ketinggian akal budi dan kegagahan peribadi yang akan menggerakkan, mencelikkan dan membangunkan semula seluruh generasi mendatang.






Akhir kata, tahniah dan jutaan terima kasih kepada seluruh Jawatan Kuasa yang terlibat menjayakan konvensyen pada hari ini. Terima kasih kepada Task Force Felda Negeri Selangor selaku penganjur  dan Kerajaan Negeri selangor yang sudi menerima dan meraikan kehadiran kita. Juga terima kasih kepada siapa jua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan konvensyen ini. Semoga usaha kita diberkati Allah jua.

Sekian, terima kasih.



Rebin Bin Birham
Pegawai Penyelidik Task Force Felda Negeri Selangor
Setiausaha Biro Masyarakat Felda Dan Orang Asal Parti Keadilan Rakyat Malaysia
Exco AMK Parti Keadilan Rakyat Malaysia
Naib Ketua Cabang Jempol, Negeri Sembilan
Penyelaras Warga Felda Prihatin

2hb April 2011
Kuala Kubu Bharu.

Tuesday 27 December 2011

Sajak Buat Peneroka

Felda,
Bermula dengan penerokaan hutan di Lembah Bilut
Peneroka,
Menebang hutan membakar pepohon memerun daun-daun
Membuka ladang dalam semak samun
Alahai ruginya balak dibakar diperun rentung begitu
Makanya,
Bermulanya Felda hilang falsafah
Peneroka diteroka serakus-rakusnya
Bapanya mulakan dengan keinsafan
Anaknya akhirkan dengan keserakahan nafsu
Dari tipu timbang menimbang
Sampailah joli ‘reserve’ simpanan
Peneroka masih rumah kayu dah nak roboh
Felda bina bangunan memanjat langit
Berfaraidlah mereka semuanya
Macam berbahagi harta pusaka mak bapak mereka
Wahai Kabilah peneroka Felda sekalian
Buat apa bising-bising’complain’
Sendiri tuli sendiri bisu
Sendirilah main batu yang kematu
Di dunia yang mabok
Dalam muntah haloba kini
Tiada tempat bagisi pengecut
Yang asyik mengilap mimpi
Dalam dodoi rindu
Akademik Fantasia 1 Malaysia

(Sajak Buat Peneroka Oleh Yassin Salleh: 27hb Oktober 2010; Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat)

Friday 23 December 2011

Anak Muda Palong, Dulu, Kini dan Akan Datang

Di kesempatan yang terbatas  ini, saya ingin berkongsi sedikit perkembangan mutakhir kebangkitan anak-anak muda di kawasan rancangan Felda iaitu di Felda Palong.
PRU 2004, undi untuk Keadilan kurang memberangsangkan di seluruh negara dan tidak terkecuali di DUN Palong. Namun PRU 2008 prestasi Keadilan cukup baik di seluruh negara malahan Negeri Sembilan hampir kita tawan.
Sementara itu, di DUN Palong, kita menyaksikan pertambahan undi hampir 1500 undi. Akan tetapi pada ketika itu kelibat anak-anak muda Palong tidak kelihatan bahkan ramai di kalangan mereka yang masih bertuankan Umno.
Namun situasi amat berbeza sekarang  Lonjakan perubahan sokongan anak muda Palong ini dapat dilihat melalui penubuhan ranting baru iaitu Ranting Felda Palong 6 yang ditubuhkan sekitar Julai 2011.Situasi yang luar biasa menyaksikan kesemua jawatankuasa diisi oleh anak-anak muda.
Ketua Ranting Felda Palong 6, Ariffin Mohd Yusof adalah seorang anak muda tempatan yang bertanggungjawab menyemarakkan  obor perubahan di sana. Setakat ini, jumlah penyertaan keahlian baru
di ranting ini mencecah sekitar 400 orang yang sebahagian besar terdiri daripada kalangan anak-anak muda.
Tanggal 21November 2011adalah tarikh bersejarah bagi peneroka Palong. Kehadiran Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Palong 6, ternyata tidak dipersia-siakan oleh anak-anak muda di sana. Sejak awal lagi, mereka mengadakan persiapan rapi bagi menyambut kehadiran wira bangsa ini. Ratusan petugas mengambil bahagian membantu persiapan.
Dalam kesibukan itu, tiba-tiba saya dihubungi oleh Ariffin  memaklumkan bahawa beliau baru saja dikunjungi oleh beberapa pemimpin Umno yang dipercayai dihantar oleh pimpinan atasan. Saya diberitahu bahawa  utusan Umno tersebut menawarkan apa saja yang dikehendaki asalkan beliau meninggalkan perjuangan dalam Keadilan.
Saya agak terkejut mendengar perkara tersebut dan menasihatkan beliau  agar menjauhkan diri dari wakil  Umno terbabit. Saya terfikir bahawa ini adalah suatu cubaan membeli jentera parti dan sekaligus ingin menggagalkan lawatan Dato' Seri ke Palong.
Ternyata cubaan menggagalkan program itu tidak berjaya. Seawal jam 6 petang, orang ramai mula mengambil tempat. Tepat jam 10 malam, Dato' Seri tiba dan disambut oleh anak-anak muda Palong dengan paluan kompang, pancaran bunga api, deklamasi sajak dan nyanyian lagu Memburu Impian. Kehadiran sememangnya amat luar biasa sehingga menjangkau sekitar 2 ribu orang. Yang lebih penting, Janji Palong iaitu manifesto khas untuk kesejahteraan peneroka dilancarkan.
Harapan saya semoga kebangkitan anak muda Palong ini yang didorong melalui perubahan sikap dan keazaman serta tekad untuk melihat perubahan akan terus berkembang subur sehingga ke saat menjelang Pilihanraya Umum ke-13.
Saya amat optimis kerancakan berterusan iniakan menamatkan retorik lama yang sinonim dengan kawasan rancangan Felda sebagai kubu  kuat Umno-BN atau diumpamakan 'fix deposit' akan bertukar kepada Felda 'kubur Umno-BN'.

Rebin Birham

Thursday 8 December 2011

JADUAL LAWATAN KERJA KETUA WANITA KEADILAN KE PALONG

CERAMAH UMUM KETUA WANITA KEADILAN
15HB DISEMBER 2011
8.30 MALAM
TEMPAT : DATARAN NIAGA,  FELDA PALONG 8

PROGRAM ZIARAH
16 HB DISEMBER 2011
9.00-12.00 TENGAHARI

MAJLIS MINUM PETANG DAN DIALOG TERBUKA
16HB DISEMBER 2011
3.00 PETANG
TEMPAT : NO 423 FELDA PALONG 4

ORANG RAMAI DIJEMPUT HADIR