WARGA FELDA PENENTU PERUBAHAN

Monday 11 July 2011

Jadual Kerja Pengerusi Biro Masyarakat Felda & Orang Asal Bulan Julai 2011

Jadual Lawatan Kerja Pengerusi Biro Masyarakat Felda & Orang Asal PKR Pusat, Tn Hj Suhaimi Said  Pada Bulan Julai 2011.
 
TarikhProgram
1hb Mengiringi Lawatan Menteri Besar Selangor Ke Daerah Hulu Selangor
@ Ceramah Di Pagoh, Johor Bersama Yb Azmin Ali.
7hb Mesyuarat Biro Masy Felda Pusat Di Pej PKR N. Sembilan (Seremban).
9hbMenghadiri Perhimpunan Bersih 2.0
10hbCeramah Di Felda Lancang, Pahang.
11hbMesyuarat Task Force Felda Selangor
12hbCeramah Di Felda Palong 9 bersama Peguam Razlan.
13hbCeramah Di Felda Bukit Rokan, Tampin N. Seremban
14hbLawatan Kerja Ke Felda Sendayan Dan Lb, N. Sembilan.
15hbProgram Mansuh Felda Plantation & Tawaran Peneroka Baru Di Felda Palong 5,
jam 4 ptg bersama Dato' Fauzi
Ceramah Di Felda Chini, Pahang Jam 8.45 malam
16hbLawatan Kerja Di Felda Gedangsa,Hulu Selangor. Jam 4.00 Ptg
20hb Ceramah Di Felda Palong 5 Bersama Yb Azmin Ali (masih menunggu jawapan)
27hb-30hbLawatan Kerja Susulan Ke Johor, Perincian Aktiviti Akan Dikeluarkan Kemudian.

Perutusan Hari Peneroka

Assalamualaikum wrwb.

Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Peneroka kepada seluruh warga Peneroka Felda di seluruh Negara.  Pada hari ini marilah kita kembalikan ingatan kita kepada pengharapan kita semasa kita menyertai rancangan Felda yang disemaikan dengan seribu satu harapan untuk kejayaan hidup dan masa depan kita dan kaum keluarga.  

Sesungguhnya kita telah berjaya membina satu kehidupan yang lebih berjaya selepas mengharungi segala susah-payah dengan cabaran yang getir berhadapan dengan halangan dan rintangan.  Setelah melalui zaman kegelapan dan kepayahan, maka kita menantikan zaman kegemilangan dan kesenangan.

Dengan usaha kita yang bersungguh-sungguh kita telah berjaya membaiki kehidupan kita.  Suatu episod yang menelan masa selama lebih 20 tahun, kita telah berjaya memikul tanggungjawab kita dan berjaya menyelesaikan segala hutang kita kepada Felda, dan disamping itu kita juga telah menyumbangkan sebahagian besar dari segi kewangan bagi membiayai apa juga yang dinamakan pembangunan didalam Rancangan Felda dimana kita ditempatkan.

Kita juga telah berjaya menjelaskan CAC melalui Felda dengan harapan kita akan diberikan geran untuk ladang dan tanah kampung kita.  Disamping itu kita juga telah menjelaskan bayaran melalui Felda caruman untuk menanam semula apabila waktunya dikehendaki untuk kita menanam semula.  Apa juga bayaran yang kena dibayar telah juga kita tunaikan.

Ini bererti bahawa warga kita, warga masyarakat Peneroka Felda, telah menunaikan tanggungjawab kita lebih dari apa yang dituntut keatas warga negara yang lain kerana segala pembangunan yang berlaku didalam Rancangan Felda adalah terpikul keatas bahu kita.

Bagi kita yang terlibat dengan rancangan getah, kita dihadapkan dengan peratusan KGK yang rendah daripada peratusan yang sepatutnya kita boleh perolehi.  Batang getah milik kita ditebang dan dijual oleh Felda dan JKKK/R deengan harga yang jauh lebih rendah daripada yang boleh kita tebang dan jual sendiri, satu perbezaan harga yang sangat besar.  Kita dihalang daripada menanam sendiri, dan malangnya di sesetengah Rancangan Felda pihak Felda Technoplant gagal menanam semula dengan sempurna mendatangkan kerugian yang amat sangat kepada sesetengah warga kita, tetapi Felda gagal memikul tanggungjawab dan sesetengah dari kita terpaksa menanggung hutang yang tinggi apabila kita diberikan pinjaman elaun sara hidup yang dianggap hutang sedangkan kebun kita tidak mengeluarkan sebarang hasil.

Bagi golongan kita dengan rancangan sawit pula, kita berhadapan dengan Peratusan Perahan KPG yang jauh lebih rendah yang diberikan oleh kilang-kilang Felda jauh  daripada peratusan perahan yang disahkan oleh makmal, sehingga menyebabkan kerugian hingga ribuan ringgit setiap bulan didalam tempoh 15-20 tahun yang lampau.  Kita juga berhadapan dengan buah sawit kita yang didenda kerana dikatakan muda, mengkal dan tangkai panjang dan tandan-tandan itu dibuang dan tidak ditimbang walhal buah-buah itu diproses pula oleh kilang-kilang felda itu tetapi hasilnya tidak dikembalikan kepada kita.

Betapa sesetengah daripada kita amat sukar mendapat geran tanah hingga ada diantara kita yang sudah menjelaskan BK dan CAC sejak lebih 10 tahun tetapi kita masih tertunggu-tunggu bilakah geran tanah kita boleh diserahkan kepada kita.  

Ramai pula diantara kita yang menanam sendiri tetapi tidak dikembalikan wang dari caruman tanam semula yang disumbangkan oleh kita sendiri sehinggakan terpaksa mengambil tindakan Mahkamah bagi mendapatkannya.

Ada juga diantara kita dinafikan bayaran insentif tanam semula sawit yang sepatutnya dibayar kepada kita oleh MPOB, dan amat malang kerana bayaran kepada kita seperti di Felda Jengka 22 untuk bayaran ces dikenakan bayaran kembali kepada Felda sebanyak RM650.00.

Kita berusaha untuk berunding dengan Felda agar segala perkara yang menekan dan merugikan peneroka dapat dirundingkan dan pampasan yang munasabah dapat dibayar kepada kita, tetapi Felda tidak pernah terbuka hati mahu berunding dengan kita, bahkan kita sentiasa diselar sebagai golongan yang tidak bersyukur.

Kita hanya mahu menuntut apa yang menjadi hak kita dan sekali-kali tidak menuntut apa yang menjadi hak kepada Felda, dan oleh kerana itu kita terpaksa menuntut keadilan di Mahkamah.  Hasil daripada tuntutan kita di Mahkamah, kita telah berjaya mendapatkan pampasan sebanyak RM11 juta ringgit bagi peneroka-peneroka di Felda Kemahang 3, di Kelantan.  Dan kita juga telah berjaya mendapatkan kembali wang dari caruman tanam semula hasil tindakan kita di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk peneroka-peneroka Felda Sg Koyan di Negeri Pahang.

Sekali lagi kejayaan memihak kepada kita apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda membayar kepada peneroka-peneroka Felda Kemahang 1 dan 2 caruman tanam semula yang enggan dibayar oleh Felda kepada peneroka-peneroka.

Tidak kurang pentingnya kejayaan kita di Mahkamah di dalam kes yang melibatkan peneroka-peneroka di Felda Raja Alias dan Palong 9.

Golongan kita di Felda Maokil, Johor, Felda Serting 1 dan 2 di Negeri Sembilan dan 16 rancangan Felda di Jengka, Pahang juga menuntut di Mahkamah bagi mendapatkan hak mereka suatu pampasan berhubung dengan KPG yang dimanipulasi oleh Felda.

Peneroka-peneroka dari Rancangan-Rancangan Felda di Pahang seperti Bera, Rompin dan Dun Jengka sudah pun mengumpulkan senarai untuk memasukkan saman terhadap Felda; begitu juga peneroka-peneroka di Johor, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kita tidak seronok menyaman Felda tetapi apakah avenue yang lain yang terbuka kepada kita untuk menuntut hak kita sedangkan Felda menutup segala pintu rundingan.

Maka pada Hari Peneroka ini marilah kita muhasabah diri kita, dan bertanya diri kita samada kita akur dengan segala penindasan dan penipuan yang dikenakan kepada kita atau kita mahu menuntut apa yang sewajarnya menjadi milik kita.  

Kita juga manusia, ada kelemahan kita dan ada pengharapan kita.  Sebagai peneroka, setiap dari kita mempunyai keluarga dan anak-anak yang sepatutnya mewarisi harta benda kita.  Malangnya, ramai dari golongan muda kita tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ramai dari anak-anak kita yang terlibat dengan masalah sosial dirancangan-rancangan Felda.

Siapa tidak sayang kepada generasi mereka.  Kita sayang kepada anak-anak dan cucu-cucu kita. Tetapi sayang sahaja tanpa dapat memberikan sesuatu untuk anak-anak kita dan keluarga mereka adalah sayang yang tidak mempunyai makna.

Kita sedar bahawa 800,000 ekar tanah-tanah Kerajaan Negeri telah diberikan kepada Felda tetapi Felda tidak gunakan tanah-tanah itu untuk memasukkan peneroka-peneroka, tanah-tanah itu dijadikan ladang Felda dibawah jagaan Felda Plantation dan segala keuntungan dari ladang-ladang itu menjadi hakmilik Felda semata-mata.  Kita menuntut supaya tanah 800,000 ekar itu diambil-alih dari Felda dan diagih-agihkan kepada generasi baru Felda, setidak-tidaknya antara 80,000 hingga 160,000 daripada anak-anak kita dapat ditempatkan di rancangan-rancangan Felda Plantation itu.  Disamping dapat menyelesaikan masalah pengangguran kepada jumlah yang besar itu, sekali gus dapat mengatasi masalah perumahan bagi mereka.

Tidakkah kita terfikir bahawa hutan yang masih begitu luas di Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak masih boleh dibuka untuk menempatkan peneroka-peneroka baru.

Mari juga kita bayangkan bahawa golongan terbesar dari anak-anak kita yang sesetengahnya sudah mempunyai keluarga sendiri masih menumpang kita untuk perumahan.  Cuba bayangkan bahawa tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh dari Felda untuk mengadakan penempatan kepada anak-anak kita sedangkan Felda memperolehi keuntungan berbilion ringgit setiap tahun tetapi keuntungan itu tidak dikembalikan untuk kesejahteraan peneroka-peneroka Felda dan anak-cucu kita.

Didalam rancangan-rancangan Felda yang ada sekarang begitu banyak tanah-tanah poket dan tanah-tanah terbiar yang boleh dibangunkan untuk menyediakan rumah-rumah yang mampu milik untuk anak-anak kita, tetapi sangat mengecewakan kita kerana hanya mereka yang boleh menunjukkan slip gaji sahaja yang sekarang ini layak membeli rumah-rumah yang didirikan oleh Felda sedangkan golongan terbesar dari anak-anak kita tidak mempunyai pekerjaan yang mempunyai slip gaji.

Maka pada Hari Peneroka ini marilah kita merapatkan perpaduan kita dan bersama-sama berjuang untuk kepentingan kita dan generasi kita.

SELAMAT MENYAMBUT HARI PENEROKA.


Haji Suhaimi Said,
Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal,
Parti Keadilan Rakyat.